kewajipan pemuda islam part 4


(3) Kewajipan ketiga : kepada aqal.

Sepertimana bahawasanya pemuda muslimin itu dituntut supaya bertaqarrub (mendekati) Allah dan bersungguh pada dirinya dalam mendekati Allah, begitu jugalah dia dituntut supaya mementingkan aqal fikirannya, menghidangkannya dengan pekara yang bermanfaat dan berfaedah.
Dari Abi Amamah al-Bahiliy -radhiallahu anhu- berkata : bersabda Rasulullah S.A.W. : kelebihan si alim atas sekalian hamba seperti kelebihan aku atas serendah-rendah orang dalam kalangan kamu, kemudian Rasulullah S.A.W bersabda lagi : sesungguhnya Allah dan malaikatNya serta seluruh penduduk langit dan bumi hatta seekor semut di atas batu dan hatta ikan di lautan akan mendoakan kebaikan buat orang yang alim.
Dan dari Muaz berkata : pelajarilah ilmu sesungguhnya dengan mempelajarinya kerana Allah adalah satu kebaikan, manakala mencarinya adalah satu ibadat, mengingatinya adalah tasbih, membahaskan tentangnya adalah satu jihad, dan mengajarkannya kepada siapa yang tidak mengetahuinya adalah satu sedekah.
Adapun satu kalam berbunyi : “ilmu menjaga kamu sepertimana kamu menjaga harta, dan dia melindungi kamu sepertimana kamu melindungi harta.”

Rasulullah S.A.W menitikberatkan dalam mendidik sahabat-sahabatnya.
Adapun sesungguhnya, Rasulullah SAW sangat menitikberatkan pendidikan buat muslimin, ketika ada peluang beliau akan belajar menulis, ini dibuktikan ketika mana perang badar selesai, setiap tawanan quraish yang mana tahu menulis akan di suruh mengajar anak-anak orang islam, setiap sorang mesti mengajar sepuluh orang kanak-kanak. Bahkan Rasulullah juga ada berpesan kepada sebahagian sahabatnya supaya mempelajari beberapa bahasa sehingga mampu menyampaikan dakwah ke seluruh tempat. Oleh kerana itu, terdapat ramai dari kalangan sahabat Rasulullah yang tahu berbahasa parsi, rome, dan habshah, tetapi tidak ada dalam kalangan mereka yang tahu berbahasa ibrani yangmana digunakan oleh kaum yahudi, maka Rasulullah memerintahkan penulis wahyunya iaitu Zaid bin Thabit supaya mempelajarinya.
Demikianlah Rasulullah SAW sangat mementingkan pendidikan dan menggalakkan para sahabatnya supaya menuntut ilmu sehingga menjadikannya satu kefardhuan di dalam satu hadis yang berbunyi :
“menuntut ilmu fardhu atas setiap muslim”
Tetapi apakah bentuk ilmu yang dimaksudkan Rasulullah tersebut sehingga menjadikan ianya wajib atas setiap muslim?
Terdapat berbagai pendapat ulama’ berkaitan ilmu yang wajib tersebut, adapun pendapat yang dipersetujui ramai dari ulama adalah yang dimaksudkan dengan ilmu wajib itu adalah apa yang berkaitan dengan agamanya atau dunianya. Adapun ilmu yang berkaitan agamanya adalah ilmu syariat, iaitu berkaitan :
a. Pengetahuan berkaitan akidah yang sempurna, selamat dari pensyirikan dan khurafat.

b. Pengetahuan berkaitan ibadat yang soheh kepada Allah secara zahir, (iaitu apa yang telah disyariatkan seperti solat, puasa dan sepertinya) dan batin (apa yang meliputi padanya seperti niat ikhlas kerana Allah).

c. Pengetahuan berkaitan apa yang membersihkan dirinya, menyucikan hatinya dengan apa yang diketahui kelebihan kebaikannya supaya dia berakhlak dengannya, mengetahui pekara yang keji supaya dia menjauhinya.

d. Pengetahuan berkaitan apa yang mengawasi tingkah-lakunya terhadap dirinya, atau keluarganya, atau terhadap orang lain, terhadap pemimpin atau rakyat yang dipimpin, muslimin atau bukan muslimin, mengetahui yang halal dari yang haram, yang wajib dari yang bukan wajib, serta yang sepatutnya dari yang tidak sepatutnya.

Peringkat pengetahuan yang telah disebutkan ini adalah kadar yang serendah-rendahnya bagi seorang muslim untuk mempelajarinya berkaitan agamanya bagi setiap situasi dan keadaan, seterusnya kadar ini akan berkembang dan bertambah mengikut keadaan dan kewajipan yang khusus dan umum. Sebagai contoh, si fakir tidak menjadi satu kewajipan ke atasnya untuk mempelajari secara terperinci berkaitan hukum zakat, kecuali mengetahui apa yang harus baginya untuk mengambil apa yang hak baginya.
Demikianlah juga, bagi siapa yang telah dikhususkan dengan sesuatu pekara yang wajib, maka baginya untuk mempelajari apa yang berkaitan dengan kewajipan tersebut. Maka bagi si penjual mesti baginya untuk mengetahui apa yang halal dan apa yang haram dalam jual beli, bagi seorang doktor mesti baginya untuk mengetahui apa yang berkaitan dengan cabaranya seperti pengharaman berubat menggunakan arak. Kesimpulannya di sini adalah, setiap orang yang telah dikhususkan dengan sesuatu pekara, maka baginya keperluan untuk mendalami pekara tersebut sedalamnya.
Selepas mengetahui seorang muslim akan ilmu yang wajib keatasnya secara individu, maka baginya untuk mengetahui walaupun dengan sekecil-kecil pengetahuan berkaitan cabang ilmu itu supaya tercorak baginya peribadi berpengetahuan tinggi yang terbentuk dengan pertimbangan yang seimbang tanpa ada mendalam pada satu sudut, dan mundur pada satu sudut yang lain. Sebagai contoh cabang itu adalah seperti :
• Al-Quran : dengan cara memperhalusi atau membetulkan bacaanya, menghafal sedikit daripadanya, mengetahui tafsiran dari ayat-ayatnya, serta sebahagian ilmunya.
• As-Sunnah : dengan cara mempelajari sunnah-sunnah, serta menhafal sejumlah hadis darinya.
• Sirah
• Apa yang diperintahkan dalam islam.
• Pemikiran dan Fiqh Dakwah.
Dan ketahuilah bahawasanya inilah kewajipan yang ke tiga. Wallahua3lam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

kewajipan pemuda part 5

KEWAJIPAN PEMUDA ISLAM..